Jumat, 12 November 2010

1,500 Terbabit Jayakan Pertabalan

Seri Paduka berpuas hati raptai kakitangan pelbagai agensi

KUALA LUMPUR: Sesi raptai penuh istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam berjalan lancar dalam suasana penuh gilang-gemilang di Balairong Seri, Istana Negara, di sini.

Tuanku Mizan yang turut menyaksikan sesi raptai berkenaan berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan istiadat yang berlangsung mengikut jadual walaupun mengakui ada perkara perlu diperkemaskan lagi.

“Saya bersyukur raptai istiadat pertabalan yang diadakan pagi ini (semalam) berjalan baik. Mungkin sedikit sentuhan akhir dari segi jurang masa bunyian nobat dan lagu Negaraku perlu diperkemaskan lagi.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dan mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit,” titah baginda selepas majlis raptai penuh istiadat pertabalan berakhir.

Pada raptai penuh pagi semalam, kira-kira 1,500 kakitangan pelbagai agensi dengan pakaian lengkap melakukan latihan mengikut suasana sebenar pada hari pertabalan, esok.

Tuanku Mizan bertitah, baginda sudah bersedia untuk majlis istiadat pertabalan, begitu juga dengan anakanda baginda yang gembira serta menantikan saat untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Mohamed Safiain Wan Hasan, berkata pihaknya akan mengatasi masalah koordinasi bunyian nobat dan lagu Negaraku seperti diarah.
Katanya, beliau sudah memaklumkan pihak berkenaan mengenai perkara itu dan menjangkakan semuanya dapat diperbaiki pada sesi raptai penuh kali kedua yang diadakan pada sebelah petang.

“Saya menjunjung kasih atas keprihatinan Seri Paduka berdua untuk menyaksikan raptai penuh serta memberi maklum balas bagi memastikan persiapan berjalan lancar,” katanya.

Sempena istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, 16 kakitangan bertugas secara bergilir di bilik gerakan yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 10 malam, sejak 11 April hingga 29 April.

Lima acara yang diadakan sempena pertabalan ialah Istiadat Pertabalan dan Majlis Bacaan Yasin pada 26 April, Majlis Santapan Diraja (27 April), Majlis Jamuan Teh (28 April) dan Majlis Jamuan Negara (29 April).

Beberapa pengubahsuaian di Istana Negara sudah dilakukan sempena istiadat pertabalan itu khususnya di bahagian Balairong Seri yang menempatkan tetamu kehormat dari dalam dan luar negara.

Perubahan ketara termasuk warna digunakan bagi melatari Balairong Seri itu supaya kelihatan lebih luas dan cerah berdasarkan cita rasa Tuanku dan Permaisuri, sekali gus melambangkan keutuhan institusi dan sistem beraja di negara ini.

Sumber: www.bharian.com.my