Sabtu, 13 November 2010

Buka Kedai di Masjid

Bangi, Malaysia– Datuk Seri Najib Tun Razak mahu supaya masjid tidak dihadkan sebagai tempat menunaikan ibadat semata-mata, sebaliknya diperluaskan fungsinya dengan menjalankan kegiatan ekonomi termasuk membuka kedai runcit, kedai kopi dan gunting rambut.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menggesa para imam di negara ini supaya memulakan satu gerakan bagi melaksanakan langkah itu kerana mereka mempunyai banyak kekuatan.

Beliau berkata, kekuatan itu termasuk kedudukan mereka yang diiktiraf masyarakat sebagai yang terbaik, berilmu dan bertakwa serta menjadi tempat rujukan dalam menyelesaikan masalah kekeluargaan dan persengketaan di kariah masing-masing.

“Mereka juga mempunyai pengaruh yang kuat kerana masyarakat senantiasa taat dan akur dengan perintah serta nasihat yang diberikan.”

“Oleh itu, selepas enam bulan muzakarah, kita ingin melihat daripada 6.000 masjid di seluruh negara, masjid manakah yang akan mula mengorak langkah merancang dan membuka rangkaian kedai runcit, kedai kopi dan gunting rambut,” katanya.

Beliau berucap menutup Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan 2007 yang dihadiri 3,900 imam di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini (15/6).

Turut hadir ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk program itu, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman dan Timbalan Menteri Penerangan selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk program, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Najib, beliau yakin usaha itu dapat dilaksanakan sekiranya imam mendapat sokongan ahli jawatankuasa masjid, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita menaruh harapan yang besar supaya para imam memperbaiki reputasi masjid supaya ia menjadi tempat pencetus kelahiran masyarakat Islam yang berilmu, berharta dan disegani,” tegasnya.
Dalam pada itu, Najib berkata, langkah memperluaskan peranan institusi itu adalah selaras dengan keputusan muktamar masjid di Mekah pada 1975 supaya ia digunakan semaksimumnya bagi memajukan umat Islam melalui penekanan fardu kifayah.

“Ada ulama mutakhir yang menyebut bahawa barang siapa yang menghalang umat Islam lain melakukan aktiviti mengimarahkan masjid dan memajukan umat Islam menerusi fungsi masjid, ia dianggap meruntuhkan masjid,” katanya.

Tambahnya, fungsi lain yang boleh dimainkan oleh masjid ialah dalam bidang pendidikan dengan menjadikannya pusat pengajian formal untuk latihan kemahiran, tuisyen, kelas bahasa, tadika dan pengajian fardu ain secara sistematik.

“Saya juga ingin mengulangi saranan yang pernah saya buat sebelum ini iaitu menjadikan masjid sebagai kampus cawangan universiti terbuka yang menawarkan latihan di peringkat sijil dan diploma,” katanya.

Beliau berkata, masjid juga harus melibatkan diri dalam bidang sosial dengan menjadikannya sebagai pusat komuniti untuk anak-anak remaja melakukan aktiviti rekreasi, tempat mesyuarat dan majlis keramaian.

Najib turut mencadangkan supaya dibuka poliklinik di masjid untuk kemudahan masyarakat mendapat rawatan pesakit luar, pusat kaunseling keluarga dan tempat rakyat bertemu pemimpin untuk menyelesaikan masalah.

“Ia juga boleh menjadi tempat memupuk perpaduan menerusi nasihat yang disampaikan melalui khutbah Jumaat dan bagi mengadakan gotong royong dan muzakarah,” ujarnya.

Sumber : utusan.com.my